Yayasan TSMCG sumbang tangan palsu kepada pelajar UiTM
Kuala Lumpur: Mohammad Firdaus Mohamad Hadzromi, 18, yang putus tangan kanannya akibat kemalangan motosikal 14 tahun lalu menerima sumbangan bagi membiayai kos membeli tangan palsu daripada Yayasan Tan Sri Muhyiddin (TSM) Charity Golf.
Lebih istimewa, sumbangan berjumlah RM9,500 itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis anjuran Yayasan TSM Charity Golf di sini baru-baru ini.
Mohammad Firdaus bersyukur kerana tangan palsu yang disumbangkan Yayasan TSM Charity Golf itu memudahkan urusan pembelajarannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.
Sumbangan ini menyemarakkan semangat saya untuk mengejar cita-cita sebagai seorang pereka grafik yang berjaya selepas tamat pengajian kelak.
Sebelum ini, saya terpaksa bergantung kepada bantuan rakan-rakan sekuliah untuk melakukan tugasan,” jelas pelajar tahun satu Diploma Seni Reka Multimedia itu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Dia kehilangan tangan kanan semasa berusia empat tahun apabila motosikal yang dibonceng bersama bapanya, Mohamad Hadzromi Hashim, 38, terlibat dalam kemalangan di Mukim Padang Hang, Alor Setar, Kedah pada 20 Januari 2000.
Hadzromi bekerja di kampung dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan manakala isterinya, Ruspiza Abdul Rahman, 35, merupakan suri rumah. Selain Mohammad Firdaus, pasangan itu mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.
Read more: Utusan Melayu