Yayasan Tan Sri Muhyiddin taja Kelly Tan
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) dan permata golf negara, Kelly Tan. Dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini, TSMCG diwakili Presidennya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.
Menerusi perjanjian tersebut, TSMCG bersama dua lagi penaja, Hong Leong Bank dan MKH Berhad memberikan tajaan awal sebanyak RM600,000 bagi membantu Kelly mengharungi siri Jelajah LPGA 2014 tahun ini.
Di samping bantuan kewangan, TSMCG menghulurkan sumbangan dalam bentuk sokongan moral dan nasihat profesional bagi membantu persediaan pemain itu untuk kejohanan-kejohanan lain pada masa hadapan.
Bercakap kepada pemberita, Megat Najmuddin berkata, sebagai pemain golf pertama yang ditaja oleh yayasan tersebut, Kelly akan menjadi duta yang akan memberikan kebanggaan kepada TSMCG dan negara.
Katanya, pihaknya berharap Kelly dapat menjadi Tiger Malaysia suatu hari nanti seperti mana Amerika Syarikat berjaya melahirkan Tiger Woods.
“Bukan mudah untuk menjadi pemain golf profesional kerana kosnya amat mahal untuk mengembara ke merata tempat seluruh dunia bagi menyertai pertandingan golf.
“Diharap dengan penajaan ini, Kelly akan mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan-kejohanan seterusnya dan akan muncul sebagai juara LPGA suatu hari nanti,” katanya.
Kelly merupakan satu-satunya pemain yang menjuarai kategori wanita bawah 21 tahun pada Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu pada 2010, 2011 dan 2012 sebelum bertukar menjadi pemain profesional.
Read more: Utusan Online